Hadirnya tiada dinanti, perginya buat hidup terasa sunyi.
Walau bukan dicintai, dikasihi itu pasti. Betapa singkat perkenalan kita,
tapi dia kini sudah melekat kuat dalam satu sudut hati.
Betapa puakanya dia di sebalik keramahan itu, terselit sejentik kesedihan dek orang yang disayangi pergi menjauhkan diri. Aku pasti sentiasa terselit di balik tiap kata puakanya, senyum tawanya hanya untuk menutup luka yang sudah buat jiwanya parah, buat dia rebah ke tanah, menangisi dalam diam kesayangannya itu. Tapi dia bertuah, rahmat menghampiri, kawan di sisi mengelilingi memberi sedikit magis penawar hati untuk dia membina kekuatan untuk bangun kembali. Dia perlu bangkit dan menatap bulan kesayangannya, perlahan berjalan sebelum kembali berlari merasai angin yang mendayu mengusapi diri.
Ahh, dia lelaki.
Bisa saja buat hati beku sang gadis cair dengan olahan tutur manisnya, dengan kerdipan mata sepetnya,
dengan perangai gila-gila serta puakanya tak kira masa.. Mampu saja dan pasti ada yang memerhatinya dalam diam menyimpan rasa hati untuknya tapi dia masih setia, tetap memegang tangkai janji gula hati. Dia kini sedang mencuba melupakan, membina cinta baru di balik duka lama. Dia lelaki yang bisa saja buat seorang sahabat yang kesedihan meletuskan tawa menggambarkan jiwa gembira,bisa saja dia buat seulas bibir mulus terukir senyuman kembali walau mutiara jernih masih mengalir di pipi.
Ahh, engkau lelaki,
kawan tiap detikku, peneman saat ku perlu, lawan di medan pertarungan itu, kekasih gelapku tika cahaya mulai kelam. Betapa besar peranan kau di sisi kini. Tanpa disedari kedatanganmu dulu yang tiada dijemput membuatkan kau sukar dilepaskan kini. Kehadiran kau dalam hidup sudah sebati dalam diri, dalam setiap darahku, dalam setiap urat-uratku, dalam tiap simpulan nafasku.
Kau, lelaki,
moga persahabatan kita takkan terhenti walaupun kau sudah putih rambutnya, sudah tanggal semua giginya, beristeri lebih daripada dua, bertongkat sambil mengelek cicit pula. Kumohon kau lelaki, agar tahap sindiran sinis, gurauan puaka itu tidak akan hilang ditelan masa. Semoga kita dapat berjumpa suatu hari nanti.
Ya suatu hari nanti, pasti kau juga menanti saat itu, kerana bukankah aku kesayangan kau lelaki?
2 comments:
lelaki tu cuma kawan je ke? ish3, mustahil. lelaki n perempuan cannot be just a fren ooooo~
:D lelaki, banyak lagi lelaki. Tak tak semua lelaki sama
Post a Comment